Ucapan Selamat Datang

Selamat Melayari Blog Saya.

Tuesday 12 July 2011

Sinopsis : Peranan Komputer Dalam Pendidikan Matematik

Dalam meniti arus kemodenan dalam penyampaian pendidikan adalah wajar kita mengaplikasikan pendidikan berdasarkan ICT. Penggunaan komputer umpamanya membuatkan subjek Matematik itu lebih menarik dan memudahkan penyampaian. Perisian, perkakasan dan pengaturcaraan komputer sedikit sebanyak memberi impak positif terhadap pencapaian objektif di dalam proses P&P. Sebagai pendidik, kita wajar memudahcarakan penyampaian dengan menjadikan komputer sebagai penyampai daripada media untuk menarik minat murid mengikuti proses P&P. Namun, tidak dinafikan hak guru sebagai tutor di dalam kelas yang berperanan mengupas semula serta membincangkan topik secara berdepan dengan murid.

Dalam pengajaran Matematik, komputer boleh berperanan untuk penghasilan bahan kurikulum, latih tubi, ulang kaji, simulasi, pengiraan, alat bantu mengajar, pemulihan dan pengayaan. Kenyataannya, ada di dalam beberapa kajian yang telah dijalankan oleh Fankhousel pada tahun 1993, Handerson and Landersmen pada tahun 1992, Chazan pada tahun 1988, Mc Coy pada tahun 1991 dan Al-Ghamdi pada tahun 1987. Menurut keputusan kajian diakui bahawa pelajar yang menggunakan komputer dalam mata pelajaran Matematik mempunyai sikap lebih positif, serta berkeupayaan menyelesaikan masalah. Perisian komputer juga akan dapat membantu pelajar memahami konsep Matematik dengan lebih mudah. Dalam aktiviti berkumpulan, kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.

Di dalam pengajaran Matematik menggunakan komputer antara kaedah yang digunakan ialah penggunaan spreadsheet, multimedia dan internet. Penggunaan spreadsheet ini boleh dipilih oleh guru untuk pengenalan kepada pengajaran menggunakan komputer. Multimedia pula adalah medium menarik yang membenarkan integrasi dan manipulasi video, audio, teks, grafik dan animasi. Penggunaan internet pula ialah rangkaian komputer yang tinggi dan profesional.

Kesimpulannya, penggunaan komputer dalam pendidikan akan mewujudkan masyarakat yang berpandangan jauh, berwawasan serta berteknologi. Impak penggunaan komputer membolehkan proses P&P dapat dijalankan dengan menarik dan melahirkan pelajar yang lebih berkeupayaan untuk mengkaji dan memodenkan cara belajar supaya tidak ketinggalan dengan arus zaman.

No comments:

Post a Comment